20 July, 2009

Situasi semasa Influenza A (H1N1) (Setakat 20 Julai 2009, jam 8.00 pagi)



Kes - Kes Baru: 0

Kes - Kes Import: 0
Kes Jangkitan Tempatan: 0

Jumlah Kes di Malaysia: 874
862 pesakit (98.6%) telah sembuh dan 7 orang (0.8%) sedang menerima rawatan di hospital, manakala 5 pesakit (0.5%) dirawat sebagai pesakit luar.

Nasihat kepada orang ramai:

Pada fasa mitigasi ini, hanya kes-kes jangkitan yang teruk dan berkomplikasi sahaja akan dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa walaupun pada hari ini tiada kes baru yang dilaporkan, ini tidak bermakna tiada jangkitan influenza A (H1N1) yang berlaku di dalam masyarakat. Kementerian Kesihatan akan terus membuat pemantauan kejadian kes yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian cluster ILI. Bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orang ramai amatlah diperlukan untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:

  1. Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya rutin membasuh tangan dan etika batuk. Mereka juga perlu mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan).

  2. Mereka yang bergejala dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik yang berdekatan. Kes-kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah dengan mengamalkan kebersihan diri yang baik termasuk mengurangkan pergaulan rapat dengan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang tiada mempunyai sebarang gejala. Mereka juga perlu memakai mask dan jika tanda-tanda jangkitan menjadi bertambah teruk, mereka perlu segera datang ke hospital atau klinik yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah telah di muat naik ke laman web Kementerian Kesihatan sebagai rujukan orang awam.

  3. Kejadian-kejadian jangkitan influenza-like illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa, hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk siasatan lanjut.
SITUASI GLOBAL

Merujuk kepada situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga 20 Julai 2009 jam 8.00 pagi, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan ke WHO adalah sebanyak 133,755 kes dengan 760 kematian daripada 155 negara, iaitu pertambahan 120 kes. Dua buah negara baru yang disenaraikan adalah Solomon Island dan Guam, Amerika Syarikat. Negara-negara yang melaporkan pertambahan kes adalah Hong Kong 62 kes, Australia 47 kes, New Zealand 5 kes, dan Malaysia 3 kes. Tiada pertambahan jumlah kematian iaitu kekal pada 760 kematian.

No comments: