27 September, 2008

Petua Memikat Hati Guru (5)

Petua kelima untuk memikat hati guru anda ialah elakkan daripada melakukan sesuatu yang guru anda larang. Guru anda sudah pasti lebih banyak pengalaman berbanding anda terutamanya dalam bidang yang diajarinya. Apabila guru anda melarang anda daripada melakukan sesuatu, ikut nasihatnya.

Contoh paling mudah, jika guru anda suruh anda diam semasa dia mengajar, anda perlu diam. Mengapa? Jika anda tidak diam, tentu susah untuknya mengajar. Apabila dia rasa susah untuk mengajar, tentu susah juga baginya untuk membuat anda faham.
Kadangkala ada pelajar yang suka bergurau dengan melawan cakap gurunya. Guru kata jangan sentuh benda ini, pelajar itu akan semakin seronok untuk menyentuhnya. Semakin guru marah, semakin dia mempersendakan gru dengan cuba menyentuh benda tersebut. Jika anda yang jadi guru ketika itu, apakah perasaan anda?
Untuk pengetahuan anda, apa yang guru anda larang selalunya adalah bertujuan baik untuk anda. Jika anda mahu memikat hati guru anda supaya anda rapat dengannya dan mudah untuk memahami apa yang diajarnya, elakkan daripada melakukan perkara yang dilarangnya.

Bagi saya, petua ini adalah petua yang paling mudah difahami tetapi ia juga petua yang paling susah diamalkan oleh pelajar. Ini adalah kerana apa yang pelajar suka selalunya adalah apa yang guru tidak suka. Contohnya guru tidak suka pelajar bising dalam kelas, tetapi pelajar sangat suka membuat bising di dalam kelas. Guru sangat melarang pelajarnya daripada meniru tetapi pelajar sangat suka meniru kerana ia kerja mudah bagi mereka.

Jadi, mulai hari ini, lihat semula, adakah anda suka melakukan sesuatu yang dilarang oleh guru anda? Jika ada, berhenti lakukannya serta-merta.
Selamat mencuba.

Osman Affan

No comments: