21 September, 2008

Petua Memikat Hati Guru (1)


Pernahkah anda dengar pelajar merungut, “Cikgu tu tah apa-apa tah….. pilih kasih…. kalau si Leman tu, apa dia buat semua ok…. kalau aku ni, ada je benda tak kena….. pilih kasih betul…….”

Rungutan begini selalunya datang daripada pelajar yang iri hati melihat sesetengah pelajar lain rapat hubungan dengan guru mereka. Adakah anda juga begini?

Katakan memang ada guru yang pilih kasih dan melebih-lebihkan sesetengah pelajar, adakah anda akan merungut jika anda yang menjadi anak murid kesayangan guru itu? Tentu tidak bukan? Apa yang ingin saya katakan ialah, guru pilih kasih adalah perkara biasa. Ia tidak bermaksud guru itu pilih kasih pada sesetengah pelajar hingga menganiaya pelajar lain. Saya percaya semua guru sayangkan anak muridnya. Cuma, disebabkan guru juga adalah manusia biasa, mereka akan lebih menyayangi beberapa anak murid yang memenuhi beberapa kriteria pilihan mereka.

Pentingkah anda memikat hati guru anda? Apa untungnya jika guru anda mengasihi anda? Saya beri satu contoh mudah. Katakan anda diminta mengajar dua anak saudara anda yang beberapa tahun lebih muda. Anak saudara yang pertama suka mendengar kata anda. Dia membuat apa yang anda suruh semasa sesi pembelajaran dan memberi sepenuh perhatian kepada anda semasa anda mengajar.

Anak saudara yang kedua pula tidak boleh duduk diam semasa sesi pembelajaran. Semasa anda sibuk mengajar, dia sibuk mengasah pensel, mencari buku, melukis kartun dan sebagainya. Apabila anda suruh buat latihan, dia merungut dengan mengatakan bahawa dia tidak faham apa yang anda ajarkan.

Soalan saya, anak saudara mana yang anda akan lebih suka? Mudah bukan? Soalan saya lagi, jika anda rasa anak saudara anda suka mendengar apa yang anda ajar, apakah anda akan semakin bersemangat untuk mengajarnya? Sudah tentu bukan?

Jadi, anda perlu tau serba sedikit bagaimana mahu mengambil hati atau memikat hati seorang guru. Ini tidak bermaksud anda mahu mempermainkan mereka. Memikat hati guru bertujuan agar ilmu anda lebih diberkati dan anda akan lebih mudah faham apa yang diajarkan. Inilah objektif utama mengapa anda perlu tahu beberapa petua untuk memikat hati seorang guru.


Petua 1
Petua pertama adalah petua yang paling penting. Untuk memikat hati guru anda, anda perlu belajar dalam keadaan ‘Gelas yang kosong‘. Apakah maksud saya ini?

Belajar dalam keadaan gelas yang kosong ialah anda perlu rasa rendah diri dan buka minda anda untuk menerima apa yang diajarkan oleh guru anda. Banyak ketikanya saya lihat pelajar datang ke sekolah, kolej, universiti, seminar atau bengkel dalam keadaan gelas yang penuh. Ini bermaksud, mereka rasa mereka tahu banyak perkara berbanding kawan-kawan sebaya mereka malah mereka juga rasa mereka lebih tahu daripada guru mereka.

Apa akan jadi jika air dituangkan ke dalam gelas yang penuh? Ya….. air yang dituang itu akan tumpah. Malah, air yang ada di dalam gelas yang penuh itu juga akan turut mengalir keluar. Jika anda tidak percaya, cuba isikan air sirap kedalam sebiji gelas hingga penuh. Tuangkan air masak ke dalam gelas itu. Biarkan air yang melimpah keluar. Lama-kelamaan, anda akan lihat gelas yang berwarna merah disebabkan air sirap itu akan lama kelamaan menjadi putih.

Apa yang ingin saya katakan ialah jika anda datang ke majlis ilmu dengan perasaan anda lebih mengetahui, anda tidak akan pelajari sesuatu yang baru. Malah ilmu yang ada pada anda juga akan jadi semakin susut dan tidak bernilai. Apa kena-mengena petua ini dengan memikat hati guru?
Guru sangat mudah mengesan jika anda datang kepada mereka dengan gelas yang penuh. Orang yang datang dengan gelas yang penuh boleh dikesan melalui percakapannya, soalannya dan juga cara mereka duduk dalam sesuatu majlis ilmu itu. Apabila seorang guru dapat mengesan orang-orang begini, selalunya guru akan cuba mengalihkan perhatian kepada anak murid yang lain. Ini adalah supaya guru dapat mengekalkan semangat mereka untuk mengajar dan emosi mereka tidak terganggu dengan pelajar gelas penuh ini.

Sebaliknya, jika anda datang dengan gelas yang kosong, guru akan dapat mengesan bahawa anda datang dengan niat mahu belajar. Saya sendiri, saya sangat suka melayan pelajar yang ada niat mahu belajar. Mereka ini selalunya bersedia untuk mendengar nasihat bagaimana mahu memajukan pelajaran mereka. Untuk pelajar begini, seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu.

Apa yang perlu anda lakukan sekarang? Ada beberapa perkara:

Betulkan niat anda untuk betul-betul belajar. Anda perlu ingat, orang yang bijak adalah orang yang mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu dengan baik, bukan orang yang suka menunjukkan kepandaian mereka.
Elakkan daripada memalukan guru anda dengan menunjukkan kepandaian anda. Contohnya, ada kalanya guru membuat kesilapan seperti membuat kiraan yang salah di depan kelas. Jika anda mahu betulkan kesalahan itu, betulkan dengan cara yang sopan agar tidak menjatuhkan air muka guru tersebut.
Dengar nasihat dan cadangan guru anda tentang bagaimana cara untuk memajukan diri anda.
Selamat mencuba.

Osman Affan

No comments: