15 August, 2008

Dengarlah cakap cikgu...

Salah satu petua untuk skor A ialah dapatkan sokongan daripada guru.
Sokongan guru adalah antara perkara terpenting dalam mencapai matlamat kejayaan kita. Untuk skor A, saluran paling utama untuk mencapainya ialah melalui guru kita. Apabila guru kita bersungguh-sungguh untuk membantu dan membawa kita ke arah kejayaan, lebih mudah untuk kita ke sana. Banyak ketikanya pelajar dan ibu bapa merungut mengatakan guru tidak bersungguh-sungguh dan tidak peduli dengan kejayaan muridnya. Malah ada yang menuduh guru hanya menganggap sekolah sebagai tempat mencari duit dan tempat untuk mempunyai kerjaya sahaja.

Tanggapan ini salah. Mengapa? Semua guru mahu anak muridnya berjaya. Satu sebabnya tentulah kerana itu tanggungjawab mereka. Namun satu sebab yang boleh kita percayai ialah kejayaan anak murid melambangkan kejayaan guru itu juga. Guru yang hebat pasti boleh melahirkan anak murid yang hebat. Jadi, persoalan guru tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh harus diketepikan.
Apa yang perlu kita fikirkan ialah mengapa guru lebih bersungguh-sungguh mengajar murid lain berbanding kita? Hmm… sekali lagi, jangan buruk sangka. Lihat semula kepada diri kita. Adakah kita selalu melawan cakap cikgu, degil, tidak beri tumpuan dalam kelas, terlalu ‘loyar buruk’, tidak hormat, tidak pernah siapkan kerja sekolah dan mengutuk guru itu dibelakangnya? Jika kita pernah atau biasa lakukan ini semua, adakah guru akan serius untuk membantu kita?Tentu tidak bukan?
Jadi, mulai hari ini, cari jalan untuk mendekati dan mendapat sokongan guru kita meskipun guru itu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab hariannya.

oleh Osman Affan, Pakar Motivasi Belajar

No comments: